Header Ads

Terkini

Oh Yeah : Review Filem "OBLIVION" : Filem Imaginasi Futuristik

Views
Oh Yeah!

Filem arahan Joseph Kosinski ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat filem bergenre aksi pengembaraan. Begitu juga dengan peminat setia pelakon A-list Hollywood, Tom Cruise. Pengalaman menyaksikan 'Oblivion' baru-baru ini membuatkan saya tertanya-tanya bilakah produksi Malaysia mampu menghasilkan filem sehebat ini? Teknologi yang digunakan berjaya membawa imaginasi Kosinski di layar perak dengan cukup berkesan.



Walau bagaimanapun saya menyedari dan faham produksi Malaysia terikat dengan bajet yang ketat. Mengikut entri di Wikipedia, ‘Oblivion’ dikatakan menelan belanja sebanyak USD 120 juta.


Berbeza dari filem aksi-penggembaraan lain yang dipopulasikan dengan ramai pelakon, ’Oblivion’ hanya mengetengahkan beberapa watak sahaja, lebih-lebih lagi Bumi pada waktu itu sudah ditinggalkan penduduknya. Berlatar belakangkan bumi pada tahun 2077, Oblivion memperlihatkan ‘keuzuran’ bumi selepas enam dekad diceroboh makhluk asing.

Watak utama bernama Jack Harper (Tom Cruise), seorang juruterbang berani mati yang kini bertugas di Bumi. Realiti yang Jack selama ini percaya sebagai kebenaran musnah dalam sekelip mata apabila dia dipertemukan dengan Julia Rusakova yang diselamatkan daripada sebuah kapal angkasa yang terhempas ke bumi. Julia bukan sahaja mengingatkannya kepada seseorang, malah dia juga menghidupkan memori-memori lama.



Kecelaruan fikirannya membuatkan Jack berusaha mencari jawapan. Ternyata apa yang dilihat dengan mata kasarnya selama ini tidak seperti yang disangkakan. Kesedaran Jack akhirnya melihat lelaki ini menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin kepada mereka yang masih berada di bumi.

Terdapat beberapa eleman futuristik yang saya rasakan benar-benar menyuntik semangat filem ini. Satu, rekaan pesawat yang digunakan oleh Jack ketika membuat rondaan di bumi. Pesawat yang dinamakan Bubbleship ini merupakan gabungan jet pejuang dan helikopter Bell 47. Bukan mudah mencipta pesawat ini. 

Saya difahamkan kerja-kerja membina pesawat ini mengambil masa lebih setahun dan ia dibina di di sebuah gudang di Los Angeles sebelum ia dileraikan dan dihantar ke Louisiana, Iceland dan Mammoth, California untuk penggambaran. Kerja-kerja pemasangan pula mengambil masa lima jam.

Selain itu, saya suka kagum dengan tempat tinggal Jack dengan pembantunya, Victoria atau Vika Olsen (Andrea Riseborough) yang terletak 3,000 kaki di permukaan troposfera. Bagaikan sebuah dunia di awang-awangan, keadaan di Skytower menampilkan persekitaran yang bersih, sintetik dan berteknologi tinggi. Kosinski tindak menggunakan skrin biru untuk set Skytower, sebaliknya menggunakan rakaman keadaaan langit dari siang sehingga malam di kemuncak Haleakala Crater, Maui, Hawaii.



Seterusnya, saya tertarik dengan robot drone yang diprogramkan untuk membunuh pemangsa. Dilengkapi dengan animatronik, robot ini boleh bergerak, berpusing dan menyala dengan alat kawalan jauh.

‘Oblivion’ bukan sahaja percubaan pertama Cruise bekerja di bawah arahan Kosinski tetapi ia juga menyaksikan gandingan pertamanya dengan pelakon tersohor Morgan Freeman yang membawa watak Beech.

Secara keseluruhan, saya berpendapat ‘Oblivion’ merupakan sebuah filem bijak pandai yang harus ditonton oleh peminat filem. Selain mempamerkan kecanggihan teknologi, ‘Oblivion’ sebenarnya membawa mesej tersirat. Ia menyedarkan kita bahawa tidak semua perkara yang dilihat dan dipercayai itu benar. Sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran, kita seharusnya berani mencari kebenaran.

‘Oblivion’ sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 11 April lalu.



Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan