Header Ads

Terkini

Ronaldinho Umum Persaraan Daripada Bola Sepak Secara Rasmi

Views

Legenda bola sepak Brazil dan bekas pemain Barcelona Ronaldinho, akhirnya membuat keputusan untuk bersara daripada bermain bola sepak.

Hal ini diumumkan oleh abangnya dan juga ejennya, Assis yang mengesahkan pemain yang pernah memenangi Piala Dunia, Liga Juara-Juara, Copa Libertadores dan Pemain Terbaik Tahunan Dunia itu akan menggantung but buat selama-lamanya.


Ronaldinho tidak bermain dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak tahun 2015 tetapi mengelak daripada menyifatkannya sebagai pengakhiran kariernya sehinggalah sekarang.

“Dia sudah berhenti. Semuanya berakhir,” kata Assis kepada akhbar Rio de Janeiro O Globo.

“Kami akan melakukan sesuatu yang hebat, selepas Piala Dunia Russia, mungkin pada bulan Ogos ini.”

Menurut Assis acara berkenaan yang lebih bersifat perlawanan perpisahan, akan diadakan di Brazil, Eropah dan Asia, malah mungkin membabitkan pasukan kebangsaan.


Ronaldinho, yang akan menyambut ulang tahun ke-38 Mac ini, memulakan kariernya di Gremio dan mewakili tujuh kelab lain termasuk Paris Saint-Germain, AC Milan, dan Queretaro.

Sepanjang karier profesional bola sepaknya, pemain yang dianggap sebagai salah seorang pemain dengan bakat istimewa di dunia, turut pernah beraksi untuk Fluminense,  Querétaro, Atlético Mineiro dan juga Flamengo di Brazil.

Namun ketika bersama Barcelona dari 2003 hingga 2008, dia mencatat detik gemilang, mempamerkan aksi membanggakan kelab Sepanyol itu dan paling diingati kemenangan 3-0 ke atas Real Madrid di Bernabeu pada 2005.


Dia kemudiannya membantu kelab Catalan itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 2006, La Liga pada 2005 dan 2006 serta menerima anugerah Ballon D’Or pada 2005.

Ronaldinho mewakili Brazil sebanyak 101 kali, menjaringkan 35 gol termasuk sepakan percuma sejauh 40 ela (36 meter) yang menumbangkan England pada Piala Dunia 2002.

Bulan disember tahun lepas, media Brazil melaporkan Ronaldinho akan menceburkan diri ke dalam bidang politik di Brazil seawal tahun ini.

Sebuah akhbar di Brazil, O Globo mendedahkan Ronaldinho akan bertanding di dalam satu pilihanraya untuk jawatan senat, mewakili Parti Patriota di sebuah wilayah yang dikenali sebagai Minas Gerais di Brazil.

Parti Patriota adalah sebuah parti politik milik calon yang bertanding untuk pilihanraya presiden, Jair Bolsonaro yang merupakan seorang ahli politik yang memiliki karakter penuh kontroversi di negara Amerika Selatan itu.


Bolsonaro sering dikecam kerana memiliki pandangan terhadap perkahwinan sejenis, hukuman bunuh, dan polisi ketenteraan yang bertentangan dengan norma masyarakat dan rakyat Brazil.

Baru-baru ini, Bolsonaro turut menyamakan dirinya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan dikritik hebat di Brazil selepas memberi komen yang jelik mengenai wanita dan hubungan sejenis.

Bekas bintang Barcelona itu dikatakan sedang menunggu untuk Bolsonaro mengumumkan secara rasmi mengenai percalonan untuk jawatan senat.


Walaupun pilihanraya tersebut hanya akan diadakan seawal Mac 2018, foto Ronaldinho bersama ahli politik itu dengan buku biografinya sudah mulai tersebar.

Bekas pemain profesional bola sepak beralih untuk menyertai politik bukanlah senario yang baru. Seorang lagi legenda Brazil, Romario ialah seorang senator. Manakala seorang lagi bekas pemain AC Milan, George Weah sedang bertanding di dalam pilihanraya untuk menjadi Presiden Republik Liberia.

p/s: antara pemain bolasepak yang menyebabkan aku mula berminat dengan sukan ini selain dari David Beckham. Banyak video Joga Bonito dia aku layan. Walaupun dia tak berapa kacak, tapi skill dia kacak habis. Boleh la try mintak jadi Presiden Brazil plak lepas ni.

Sumber : Semuanya Bola

Tiada ulasan