Header Ads

Terkini

Transgender - Ada Kaitan Dengan Masalah Mental Atau Tidak?

Views

Kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kini semakin berleluasa. Malah tanpa segan silu, golongan ini mengaku mereka LGBT.

Baru-baru ini hak transgender menjadi perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Ramai yang beranggapan transgender atau identiti gender dikaitkan dengan sifat fizikal seseorang yang dapat dicam melalui organ kelaminnya.

Pun begitu, terdapat sekumpulan minoriti yang mempunyai identiti gender yang tidak serasi dengan sifat fizikal kelaminnya.

Golongan ini sebenarnya telah lama wujud dan berada hampir di seluruh dunia. Istilah yang tepat untuk merujuk kepada mereka ialah ‘transgender’.

Adakah golongan ini sebenarnya mempunyai masalah mental atau terlalu mengikut kehendak naluri mereka sendiri?


Menurut Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling Consultancy (HMCC), dari segi psikologi, transgender dikaitkan dengan kecelaruan identiti.

“Fizikal mereka lelaki tetapi perasaan dan keinginan mereka lebih bersifat kewanitaan. Mereka suka berpakaian wanita dan melakukan kerja-kerja yang wanita selalu buat. Keinginan seksual mereka pula lebih kepada lelaki. Dalam pada itu, Islam mengiktiraf gender khusus secara alamiah yang disebut sebagai ‘khunsa’ yang dari bahasa Arabnya bermaksud ‘lembut’.

“Tetapi dalam konteks ini istilah berkenaan ditafsir lebih meluas sebagaimana yang tercatit dalam Kamus Dewan, pondan ialah lelaki yang memiliki sifat perempuan atau sebaliknya (perempuan yg memiliki sifat lelaki),” katanya.

Tambah Hushim, individu yang terlibat dan mengamalkan budaya songsang ini ialah manusia yang sakit jiwa. Ini kerana fizikalnya berbeza dengan keinginan sebenar dirinya.

Menurut Hushim, pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang mengalami masalah identiti gender.

“Berdasarkan kes yang saya kendalikan, kebanyakan masalah ini bermula pada usia kanak-kanak lagi. Dalam kes-kes tertentu, ibu bapa sendiri tidak menyedari masalah ini termasuk didikan mereka yang menyebabkan anak-anak lelaki cenderung kepada sifat wanita. Misalnya, ibu bapa yang inginkan anak wanita, akan menyarungkan anak lelaki mereka dengan pakaian wanita.


“Kemudian berlaku perubahan seksual diperingkat remaja hinggalah ke alam dewasa termasuk memakan pil hormon dan bergaul dengan rakan-rakan lain yang mempunyai masalah transgender seperti mereka. Kebiasaannya perubahan jantina daripada lelaki kepada wanita sama ada luaran atau pembedahan alat kemaluan mereka berlaku di alam dewasa. Pada peringkat ini, mereka mungkin ada duit dan berjumpa pula dengan rakan-rakan sejenis,” ujarnya.

Sebagai kaunselor, Hushim akan memberikan kaunseling diikuti pemulihan. Katanya, ramai klien yang mempunyai masalah transgender berjumpa dengannya untuk berubah sama ada kerana tuntutan kerjaya atau timbulnya rasa insaf. Kebanyakan akan berasa insaf pada usia matang iaitu 40-an.

Pun begitu, transgender sukar diselesaikan apabila seseorang itu sudah merubah fungsi seksual mereka. Ada kes kaunseling yang akan mengambil tempoh dua hingga tiga tahun untuk diselesaikan. Apabila berlaku perubahan fizikal seperti payu dara membesar, golongan ini akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Misalnya, ada pesakit Hushim sendiri yang mahu menunaikan umrah mengalami masalah kerana mereka tidak boleh berpakaian seperti lelaki kerana susuk tubuh masih kelihatan seperti wanita.

“Sebagai umat Islam, saya juga akan menerapkan aspek kaunseling Islam. Mengubah jantina tetap salah di sisi Islam. Amalan dilaknat ini berlaku kerana tabiat. Mereka yang terjebak seronok dengan kenikmatan luar tabie. Sebab itu Allah melarang dan dalam al-Quran menjelaskan apabila seseorang sudah terjebak, gay dan biseksual ini umpama ketagih dadah.

“Dari segi ilmu kaunseling memang benar orang yang terlibat dengan budaya LGBT ialah orang sakit. Mereka sebenarnya sakit jiwa walau dikurnia mental yang bijak.

“Namun, tidak semua mereka yang transgender terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti pelacuran. Ada yang terdiri daripada golongan profesional. Pada siang hari, mereka mungkin mempunyai pekerjaan tetap dan malam mereka bertukar menjadi wanita. Ada pula yang bekerja dalam bidang kreatif seperti mak andam, jurusolek dan sebagainya,” katanya.


Tambah Hushim, kerajaan perlu meletakkan masalah ini sebagai keutamaan kerana selain memporak-peranda sistem kekeluargaan, masalah ini juga mengancam kedudukan Islam.

Ini bukan sahaja melibatkan proses pemulihan, Hushim turut merangka langkah penyuburan dan pencegahan.

“Bagi saya kerajaan kena buat satu modul bagi menghalang LGBT habis-habisan di peringkat awal sejak sekolah rendah lagi. Selain itu, yang paling bahaya peringkat sekolah menengah sebab mereka ini akan pergi ke universiti. Di universiti sudah ramai. Saya cakap terus-terang, di universiti sudah ramai golongan ini.

“Satu langkah yang konsisten perlu dilakukan semua pihak seperti yang kita buat khusus untuk pemulihan dan pencegahan dadah,” katanya.

Nasihat Hushim kepada golongan transgender yang ingin berubah, berjumpalah dengan kaunselor atau pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kini sedang giat mencegah dan membantu golongan ini. Tambahnya, kehidupan transgender di sisi Islam tetap berdosa kerana melawan hukum Allah. Pun begitu, Hushim menyarankan masyarakat tidak menyisihkan golongan ini lebih-lebih lagi mereka yang mahu berubah.

p/s: kebanyakkan yang defend mereka-mereka ini ialah puak-puak liberalisme

Sumber : Utusan

Tiada ulasan