Header Ads

Terkini

Kenapa Kerajaan Iraq Istihar Raghad Hussein, Anak Perempuan Saddam Hussein Sebagai Individu Paling Dikehendaki?

Views

Kerajaan Iraq telah mena­ma­kan Raghad, anak perempuan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein sebagai individu paling dikehendaki bersama-sama 59 individu lain dalam satu senarai yang dikeluarkan di sini.

Agensi portal Al-Jazzera me­me­tik laporan berita AFP melaporkan, Raghad yang kini tinggal di Jordan, bersama-sama individu lain disyaki terlibat dengan kumpulan militan Daesh, Al-Qaeda dan Parti Baath.

Menurut stesen TV milik Arab Saudi, Arabiya TV, Raghad dalam temu bual melalui telefon berjanji akan menyaman mereka yang membuat tuduhan tersebut.


Raghad melarikan diri bersama anak-anak dan adiknya, Rana pada 2003 dan sejak tahun 2006, beliau disenaraikan oleh kerajaan Iraq sebagai dikehendaki atas dakwaan menyokong ke­ga­nasan.

Kerajaan Jordan sebelum ini me­nolak permintaan Iraq supaya menyerahkan Raghad, sambil me­­nyifatkan tindakan seumpama itu sebagai melanggar tradisi ma­sya­rakat Arab.

Senarai yang dikeluarkan kerajaan Iraq juga mempamerkan gambar dan menamakan 28 individu terlibat dengan Daesh, Al-Qaeda 12 dan 20 daripada Parti Baath sambil memperincikan pe­ranan mereka dalam kumpulan terbabit dan dakwaan jenayah yang dilakukan oleh mereka.

Kebanyakan individu tersebut adalah warga Iraq, selain Maan Bashour yang merupakan seorang lelaki Lubnan yang dituduh melatih warga tempatan untuk berperang dengan Iraq.

Senarai itu termasuk ahli-ahli kanan kumpulan tersebut, antaranya Fawaz Mohammad Mutlaq, bekas pegawai dalam organi­sasi angkatan tentera Fadayeen Saddam yang kemudian menjadi ahli majlis kumpulan militan Daesh.


Bagaimanapun, nama Abu Bakr al-Baghdadi, ketua Daesh tidak tersenarai. AFP turut meng­hubungi seorang pegawai kanan keselamatan, namun beliau enggan beri penjelasan.

Pegawai itu berkata, ini adalah pengganas yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa ke­hakiman dan perkhidmatan ke­selamatan.

“Inilah kali pertama kami menerbitkan nama-nama ini yang sehingga kini adalah rahsia,” katanya.

Ahli kumpulan militan Daesh itu didakwa berperang di bandar kedua terbesar Iraq, Mosul dan wilayah Nineveh, serta di wilayah Kirkuk, Diyala dan Anbar.

Kumpulan militan Daesh me­nguasai satu pertiga dari wilayah Iraq secara mengejut pada 2014, sebelum dikuasai kembali oleh pasukan Iraq yang disokong pakatan diterajui oleh Amerika Syarikat.

Tiada ulasan